BERA, 24 Januari – Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang yang beroperasi dekat Triang, di sini, sudah mula memasang hiasan sempena Tahun Baru Cina.
Antara yang paling mendapat perhatian pengunjung adalah ‘Jalan Diraja Sang Riang’ yang pernah dilalui oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika mengunjungi rumah kebajikan itu 23 September lalu.
Pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, untuk menceriakan lagi jalan itu, pihak pengurusan Sang Riang memasang kira-kira 1,500 tanglung berwarna merah dan kuning.
“Laluan ini semakin menjadi tumpuan orang ramai… ada yang datang dan mengambil gambar di sini.
“Lampu tanglung yang dipasang menjadikan suasana pada waktu malam sangat cantik dan menarik.
“Kita memang mahu jadikan jalan ini sebagai satu tumpuan utama… sebagai tanda bahawa Yang di-Pertuan Agong pernah singgah dan melawat Sang Riang,” katanya.
Yoke Moey berkata, kesan pencahayaan yang berwarna-warni di jalan itu juga boleh membawa ‘nasib baik’ kepada pengunjung.
Katanya, lebih banyak tanglung akan dipasang di sepanjang laluan itu serta di sekitar Sang Riang untuk memberi keseronokan kepada pengunjung yang melalui jalan berkenaan.
“Untuk pemasangan tanglung ini, ada dermawan yang sudah taja… semua sekali ada 1,500 tanglung merah dan 1,500 tanglung kuning.
“Ini sudah jadi Kebudayaan masyarakat Cina bila musim perayaan… buat pahala dan bagi sumbangan untuk menyenangkan hati orang ramai,” katanya.– nasionalkini.my