BERA, 24 September – Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang, menerima kunjungan istimewa daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang semalam.
Kunjungan itu adalah bersempena lawatan rasmi Seri Paduka Baginda ke daerah Bera.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah disambut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man dan Pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey.
Turut hadir menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda adalah ahli perniagaan, Tan Sri Peter Cheah.
Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa mendengar taklimat berkaitan operasi Sang Riang dan melawat sekitar rumah kebajikan itu.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada penghuni yang ditempatkan di situ.
Sementara itu, Yoke Moey menyatakan rasa terharu atas kunjungan Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal Ibrahim ke Sang Riang.
Katanya, sistem pengurusan di Sang Riang yang tersusun sangat menarik perhatian Al-Sultan Abdullah dan berharap ia dapat ditambah baik bagi memastikan penghuni di situ selesa dan selamat.- nasionalkini.my