in

Dugaan berganda kakak tabah jaga adik OKU

IMG 20230518 WA0015
Nurul Aina Fitrah (dua dari kanan) bersyukur kerana dua adiknya yang juga OKU selamat dalam kebakaran petang semalam

Oleh Arman Dhani Zafir

KUANTAN, 18 Mei – “Hari ini genap dua bulan arwah bapa meninggalkan kami dan pada masa sama rumah peninggalannya juga musnah dalam kebakaran, petang semalam,” demikian ujar, Nurul Aina Fitrah Abd Rani, 28.

Dalam kejadian terbabit, empat beradik termasuk tiga daripadanya kurang upaya (OKU) berdepan berdepan detik cemas apabila rumah pusaka tinggalan kedua ibu bapa mereka terbakar lebih kurang pukul 5.58 petang.

Nurul Aina, anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas kerana api marak begitu cepat berikutan keadaan cuaca yang panas.

Menurutnya, ketika kejadian kakaknya, Siti Nurul Ashikin, 35, dan dua adiknya iaitu Mohamad Ikmal Hakimi, 24; dan Mohamad Amir Azwan, 20 berada di rumah.

“Masa kejadian kebetulan saya berada di tempat kerja tiba-tiba kakak hantar pesanan ringkas suruh pulang cepat kerana rumah terbakar.

“Saya juga rasa panik ketika itu dan bergegas pulang ke rumah… Nasib baik tempat kerja dan rumah hanya dalam lima minit sahaja.

“Kakak dan adik-adik sempat keluar rumah menyelamatkan diri tetapi mereka hanya tahu lari tanpa sempat berbaju dan memakai selipar sahaja ketila itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Nurul Aina mempunyai dua lagi abang juga merupakan golongan OKU, Mohamad Asrul Nizam, 38, dan Mohamad Iskandar, 31, tidak lagi tinggal bersama sejak ibu bapanya meninggal malah dijaga kakak sulongnya, Nur Azuraida, 40, di Klang, Selangor.

Nurul Aina berkata, sedih dengan apa yang menimpa mereka sekeluarga namun tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

Jelasnya, rumah tersebut merupakan tinggalan arwah ibu bapanya yang banyak membaik pulih rumah itu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Rumah tersebut amat bermakna buat kami, ia merupakan antara kenangan bersama arwah… Mana tidaknya kami semua membesar di sini, malahan dua daripada kami lahir di rumah ini.

“Dipercayai kebakaran tersebut bermula daripada bilik utama, segala barang-barang peninggalan mak dan ayah kami letakkan dalam bilik berkenaan, memang tak sempat nak ambil untuk diselamatkan.

“Terdapat percikan api dan asap mula menebal hinggakan tak sampai lima minit api sudah memenuhi ruang bilik itu,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, tragedi ini merupakan kali pertama dan antara dugaan paling besar buat mereka sekeluarga.

“Buat masa ini kami menumpang di rumah saudara-mara berdekatan… Namun setakat ini hasil perbincangan bersama kakak (Nur Azuraida), kesemua adik-beradik yang tinggal di sini akan mengikutnya pulang ke Klang.

“Mereka akan tinggal di sana buat sementara waktu sehingga keadaan rumah kami di sini dapat dipulihkan semula,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230518 WA0009

‘Nisan’ kelapa sawit jadi sumber pendapatan sampingan

scam phone1 1665551071

Pensyarah rugi lebih RM2.5 juta diperdaya sindiket penipuan