Oleh : Adnan Mohamad
BESUT 17 Jun – Kira-kira 50 sukarelawan dari Skuad UNITI Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bandar Jertih bersama kumpulan Facebook Cakna Besut Terengganu (CBT) sepakat mengadakan gotong royong membersih kediaman seorang warga emas, Wong Yau di Seberang Jertih di sini, semalam.
Kerja-kerja pembersihan tersebut dilakukan atas dasar simpati dan keprihatinan sesama sendiri berikutan warga emas yang berusia 80 tahun itu hidup sebatang kara dalam keadaan rumah yang terlalu uzur dan dipenuh sampah-sarap yang boleh membahayakan dirinya.
Pentadbir CBT, Nik Hasmira Nik Yahya berkata, meskipun sebelum ini pihak kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menawarkan sebuah rumah baharu yang lebih selesa untuk didiaminya.
Namun warga emas itu menolak dengan baik kerana mahu kekal tinggal di rumah pusaka berkenaan yang didiami lebih 30 tahun lalu.
“Rumah pusaka yang didiami ini terlalu uzur namun Wong Yau masih sayang untuk berpindah ke rumah lain.
“Jadi kami mengambil kesempatan yang ada bergotong-royong membersihkan keadaan kediamannya yang dipenuhi keadaan sampah-sarap demi keselamatan dan keselesaan warga emas ini.
“Kami bimbang dengan kehadiran binatang berbisa seperti ular di kawasan kediamannya yang dipenuhi semak-samun dan keadaan persekitaran yang tidak bersih membahayakan kesihatan warga emas ini,” katanya.
Nik Hasmira berkata, minggu lepas dia bersama ahli CBT datang memujuk warga emas itu untuk berpindah di kediaman yang lebih selesa memandangkan keadaan rumahnya yang terlalu uzur selain keadaan dinding yang reput sehingga boleh membahayakan diri warga emas itu yang hidup sebatang kara.
Namun warga emas tetap berkeras dengan pendirian untuk kekal di kediaman tersebut.
Tambah Nik Hasmira lagi, sebelum ini ahli kumpulan CBT berjaya mengumpul dana sejumlah RM2,000 untuk diserahkan kepada Wong Yau bagi membina bangsal kecil berhampiran rumah pusaka yang didiami sebagai tempat berteduh yang lebih seleasa kepadanya tetapi tetap ditolak.
Nik Hasmira yang juga seorang usahawan berkata, bekas Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof pernah bercadang untuk membina sebuah rumah baharu yang lebih selesa di kawasan lain untuk warga emas tersebut.
Tetapi dia enggan berpindah kerana terlalu sayang dan tidak bersedia meninggalkan rumah pusaka yang sarat dengan memori bersama keluarga. – nasionalkini.my