in

Tiada diskaun saman, kompaun di KL

Datuk Mohd Shuhaily menyemak saman yang dikenakan kepada pesalah jalan raya dalamOperasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di ibu negara, hari ini

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan tiada sebarang pengurangan kadar kompaun dan saman akan ditawarkan pihaknya kepada pesalah trafik.

Ujarnya, tindakan itu diambil bagi mendidik dan memberikan pengajaran kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan.

“Apa sahaja kesalahan dilakukan, anda sebagai pengguna jalan raya akan disaman.

“Selagi mana saya bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, tidak ada diskaun diberikan,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain

Beliau berkata demikian ketika mengikuti Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

Mengulas mengenai operasi itu, Mohd Shuhaily berkata, pelaksanaan operasi pada waktu puncak bukan bertujuan menyusahkan pengguna jalan raya tetapi untuk mendidik mereka mematuhi undang-undang.

“Operasi julung kali diadakan pada waktu puncak ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya,” ujarnya. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

2 lagi mayat tragedi kepala air ditemui

Agong zahir takziah kepada keluarga jemaah meninggal dunia