Oleh Mohammad Ishak
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat menganjurkan Services Learning Malaysia University for Society Program (SULAM) baru-baru ini.
Program SULAM itu membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu memberikan fokus kepada tajuk ‘Kepentingan Khazanah Warisan Kapal Karam di Perairan Terengganu’.
Penyelaras program, Dr Nik Nurhalida Nik Hariry berkata, program itu bertujuan menggalakkan perkongsian asas bagi menjana ilmu yang mampu menyumbang terhadap peningkatan tahap intelektual.
“Selain itu program berkenaan juga boleh membantu dalam penciptaan teknologi baru dan penyuburan budaya dinamik selaras dengan aspirasi negara.
“Pemilihan SMK Lembah Bidong, Setiu Terengganu dibuat kerana reputasi sekolah itu dan lokasi sekolah bersesuaian dengan tajuk program dilaksanakan,” katanya.
Program sehari itu disertai 50 pelajar SMK Lembah Bidong dan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Maritim, Fakulti Pengajian Maritim UMT.
Antara pengisian program adalah sesi taklimat dan pembentangan kertas kerja oleh enam kumpulan pelajar UMT selain mencipta model kapal menggunakan bahan kitar semula. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN