in

Pengundi Kemaman buat pilihan tepat

Datuk Jasri Jamaludin

KUANTAN, 3 Disember – Hampir 65,000 pengundi di Kemaman membuat pilihan tepat dalam pilihan raya kecil (PRK) yang berakhir semalam.

Pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN) menyaksikan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengatasi Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti 37,220 undi.

Ketua BERSATU Maran, Datuk Jasri Jamaludin melalui satu hantaran di Facebook merakamkan ucapan tahniah kepada semua pengundi di Kemaman.

“Tahniah Kemaman! Pilihan yang tepat dengan majoriti jauh melebihi sasaran,” katanya yang juga ADUN Kuala Sentul.

Dalam PRK itu, Ahmad Samsuri yang juga menteri besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala Raja Mohamed Affandi pula memperoleh 27,778 undi.

Sebanyak 428 undi rosak dan 35 kertas undi tidak dikembalikan direkodkan.

Peratusan keluar mengundi bagi PRK itu adalah 65.76 peratus.

Mengulas lanjut mengenai kemenangan besar PN di Kemaman itu, Jasri memberitahu ia adalah isyarat jelas penolakan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu ia adalah satu referendum kepada Kerajaan Madani dan Anwar sendiri.

“Kemerosotan jumlah undi diperoleh BN dalam PRK Kemaman juga menunjukkan penolakan rakyat dan pengundi Melayu terhadap gabungan antara UMNO dan DAP dalam pembentukan apa yang dipanggil kerajaan Madani ketika ini,” jelasnya.— nasionalkini.my

‘Hadiah’ ulang tahun pertama Kerajaan Perpaduan

Rumah generasi kedua FELDA masih bermasalah