in

Selepas setahun, kerajaan Madani masih gagal berfungsi

Datuk Jasri Jamaludin

KUANTAN, 23 Januari – Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin mempersoalkan keberkesanan kerajaan Madani yang sudah lebih setahun memerintah.

Namun, katanya, kerajaan itu masih tidak dapat mencari penyelesaian kepada permasalahan rakyat.

Jelasnya, menteri yang ada seperti tidak tahu menjalankan tugas menyebabkan rakyat semakin ‘gelisah’ dengan keadaan ekonomi yang makin merudum.

“Sampai bilakah penderitaan ini akan berterusan? Langkah kerajaan Madani seperti jualan Rahmah untuk barang keperluan terpilih, tidak memberi impak kepada rakyat yang terus terbeban dengan keadaan ekonomi semasa.

“Daripada melaksanakan penyelesaian jangka pendek seperti jualan murah Rahmah, kerajaan harus fokus dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi dan pelan jangka sederhana dan jangka panjang bagi menangani segala masalah rakyat.

“Antara lain, pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih baik dalam mengawal selia harga barangan dan perkhidmatan untuk memastikan persaingan yang adil dan saksama dalam pasaran,” katanya.

Jasri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang dilaporkan sebagai berkata, semalam ringgit jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun iaitu 4.728 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Bekas perdana menteri itu dilaporkan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun lalu pula hanya berkembang pada kadar 3.8 peratus, iaitu gagal mencapai sasaran empat hingga lima peratus seperti diunjurkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Jasri yang juga Ketua BERSATU Maran berkata, perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih gigih mencari kesalahan musuh politik dan mengabaikan kesusahan rakyat.

“Sejak beliau mengambil tampuk pemerintahan negara lebih kurang setahun lalu, begitu banyak masa dibazirkan ke arah ‘membalas dendam’ terhadap musuh politik beliau seperti Muhyiddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan terbaharu, Tun Daim Zainuddin dan Tun Mahathir Mohamed.

“Tidak nampak tumpuan diberikan untuk mengurus kesejahteraan rakyat dan ekonomi.

“Seolah-olah jawatan sebagai perdana menteri yang diangan-agankan sejak puluhan tahun dahulu hanya untuk melampiaskan dendam kesumat beliau terhadap pembangkang.

“Yang pasti, ini semua langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.– nasionalkini.my

Harimau Malaya ‘balik awal’

Jalan Diraja Sang Riang jadi tumpuan