CAMERON HIGHLANDS, 31 Mac – Penubuhan kerajaan Pusat selepas PRU15 pada November 2022, memiliki kisah tersendiri yang mungkin sukar difahami.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, terdapat khabar angin mendakwa Kerajaan Madani itu ditubuhkan melalui komplot bersama ‘beberapa individu penting’ dalam Malaysia.

“Perkara ini – jika betul berlaku – adalah sesuatu yang menakutkan kerana ia bakal memberi kesan pada masa depan.
“Kita bimbang kuasa politik Melayu secara perlahan-lahan hilang di bumi sendiri.
“Sudah tentu ia bakal mendedahkan orang Melayu sebagai mangsa dalam percaturan politik ‘di peringkat tertinggi’ negara,” katanya.
Abdul Rasid yang juga AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang meminta kerajaan meneliti semula cadangan seperti pensempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Cadangan untuk mengubah semula sempadan pilihan raya ini sudah lama kita dengar.. cuma tak pasti bila akan dibentangkan di parlimen.
“Kalau boleh tangguh dululah bab sempadan pilihan raya.. banyak lagi benda lebih penting perlu diberi keutamaan.
“Lagipun kita bimbang bila dah ubah sempadan (pilihan raya), makin dominan kuasa politik parti tertentu.
“Akhirnya nasib orang Melayu bertambah tidak menentu.. macam di Palestin, tuan tanah jadi penumpang di tanah sendiri,” ujarnya.

Dia turut meminta pihak berkaitan supaya mendedahkan kepada pengetahuan awam mengenai dakwaan ‘komplot tiga hari’ sebelum penubuhan Kerajaan Madani.
“Kita ada dengar macam-macam versi sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan – Madani.
“Ada yang dakwa wujud konspirasi.. ada perjanjian.. dan pelbagai lagi ‘rumours’ yang tidak ada bukti.
“Kalau ada pihak sudi menceritakan semula kronologi selepas keputusan PRU15 diumumkan hingga penubuhan kerajaan, bagus juga,” ujarnya. – nasionalkini.my