in

Cadangan pilihan raya PBT ‘membimbangkan’

Datuk Jasri Jamaludin

KUANTAN, 20 Disember – Cetusan idea dan saranan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mengenai pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu dilayan oleh kerajaan Madani.

Ketua BERSATU Maran, Datuk Jasri Jamaludin berpandangan, perkara itu boleh mencetuskan ‘kebimbangan’ dalam kalangan komuniti, terutamanya di bandar besar.

“Persoalan mengenai pilihan raya PBT ini pernah saya bawa dalam sidang DUN Pahang pada Mei lalu.

“Jawapan yang saya terima ketika itu adalah jelas – kuasa menentukan sama ada perlu atau tidak pilihan raya PBT ini diadakan terletak di tangan menteri yang memegang portfolio Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Walaupun dinyatakan bahawa ia (pilihan raya PBT) bukan keutamaan buat masa ini, namun ia sudah mula disuarakan secara terbuka oleh wakil DAP dan kita tak tahu apa sebenarnya ‘agenda’ mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebagai rekod, menteri KPKT ketika ini adalah Nga Kor Ming daripada DAP.

Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, kerajaan Madani sepatutnya tidak mempertimbangkan cadangan itu kerana ia dikhuatiri ‘memberi kesan kurang baik’ kepada proses lantikan ahli majlis dalam PBT itu sendiri.

Katanya, setiap keputusan berkaitan pilihan raya PBT perlu dibuat secara berhati-hati untuk mengelak daripada ‘mengguris’ perasaan rakyat, terutamanya orang Melayu.

“Macam di Pahang inilah… kerajaan UMDAP (UMNO-DAP) dan saya tidak nampak perjuangan UMNO yang sebelum ini lantang membela kepentingan orang Melayu – bersuara (membantah) cadangan berkenaan.

“Apabila ia dilakukan, sudah pasti di bandar-bandar besar di Pahang akan dikuasai kaum tertentu sahaja.

“Keputusan PRU15 pun kita dapat lihat kerusi (dalam kawasan bandar) ini dimenangi oleh DAP,” katanya lagi. — nasionalkini.my

Santuni penduduk sudah jadi rutin

Wan Rosdy rai pengamal media Pahang