KUANTAN, 20 April – Tindakan menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan pada satu majlis di Kuala Kubu Bharu adalah kesalahan rasuah yang jelas.
Justeru, pemimpin DAP itu wajar dikenakan tindakan dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini, PAS Selangor mencadangkan agar pimpinan tertinggi DAP mengambil tindakan tatatertib terhadap Kor Ming.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali turut berkongsi pendapat sama dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap ahli parlimen Perak itu.
“Tindakan Kor Ming itu secara jelas mencabuli prinsip demokrasi dalam negara dan satu keaiban besar buat Malaysia di mata dunia.
“Pucuk pimpinan tertinggi DAP perlu mengambil tindakan terhadap Kor Ming yang sangat tidak demokratik dan bertentangan dengan prinsip, imej dan nama DAP,” katanya.
Abdul Rasid turut mempersoalkan apabila tidak ada pemimpin Pakatan Harapan menyelar perbuatan Kor Ming kerana mencemarkan integriti kerajaan Madani.
“Semua jadi ‘bisu’ bila pemimpin daripada DAP membuat silap.
“Adakah ini bermakna kerajaan Madani dikawal oleh DAP?
“Sangat memalukan dan mengecewakan.. salah guna kuasa sebegini menggambarkan seolah mereka terdesak untuk mempertahankan kerusi Kuala Kubu Bharu,” ujarnya.— nasionalkini.my