KUANTAN, 17 Mac – Arahan boikot KK Mart sepatutnya disuarakan lebih lantanng oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bukan hanya mengharapkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh semata.
Itu pandangan Ketua BERSATU Maran, Datuk Jasri Jamaludin.
Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid seharusnya tampil sebagai suara paling lantang dalam isu stoking kalimah Allah dijual di rangkaian kedai serbaneka itu.
Walaupun pihak pengurusan KK Mart sudah tampil memohon maaf, namun ia dilihat sebagai ‘belum memadai’.
“Apa barang hanya Ketua Pemuda UMNO melalak sorang kat luar sana!
“Presiden kan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Kerajaan yang memerintah sekarang.
“Gunalah kuasa yang ada,” katanya melalui satu hantaran di Facebook miliknya malam tadi.
Semalam, Muhamad Akmal memaklumkan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis berhubung isu berkenaan.
Rabu lalu, pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.– nasionalkini.my