in

Harimau Malaya ‘balik awal’

Gambar oleh FAM

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Hasrat skuad Harimau Malaya melangkah jauh dalam kempen Piala Asia 2023 musnah selepas tumbang 0-1 kepada Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad di sini, malam tadi.

Malaysia yang wajib meraih kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan E itu dihampakan dengan jaringan lewat Ali Madan pada masa kecederaan biarpun pasukan negara sebelum itu bertahan cukup ampuh sepanjang 90 minit permainan.

Kekalahan kali kedua berturut-turut itu menyaksikan Malaysia ‘bungkus awal’ dan gagal meraih sebarang mata daripada dua aksi, lapor Harian Metro.

Bagi memastikan misi meraih mata tercapai, Kim Pan-gon membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama dengan mempertaruhkan dua pertahanan baharu, Dominic Tan dan Shahrul Saad serta Syamer Kutty Abba dan Paulo Josue di hadapan.

Peluang keemasan hadir menerusi rembatan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-15 selepas satu serangan balas yang dicetuskan Faisal Halim namun percubaannya berjaya ditepis Ebrahim Lutfalla.

Empat minit kemudian, hantaran silang tonggak naturalsiasi Paulo Josue di depan pintu gol Bahrain gagal disambar Arif Aiman ketika gawang lawan sudahpun ternganga luas.

Malaysia yang tumbang 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama hampir di depan hasil percubaan ketua pasukan Matthew Davies tetapi ia sedikit tinggi melewati palang gol pada minit 27.

Bagaimanapun, hasrat untuk meraih satu mata tidak kesampaian apabila Madan muncul melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal di tampan Syihan sekali gus membantu Bahrain menggenggam tiga mata penuh.

Selepas ini Malaysia yang berada di tangga ke-130 dunia akan melengkapkan jadual dengan berdepan gergasi Asia Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis depan manakala Bahrain menentang Jordan.– nasionalkini.my

Jasri bidas laporan portal pro kerajaan

Selepas setahun, kerajaan Madani masih gagal berfungsi