SEREMBAN, 27 Julai – Proses tapisan yang ketat menyebabkan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan lewat mengumumkan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.
Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua calon berkenaan telah melalui proses tapisan pelbagai peringkat bagi memastikan tiada masalah berbangkit pada PRN kelak.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tapisan yang ketat bertujuan memastikan PN dapat menampilkan calon terbaik yang boleh mewakili rakyat dengan berkesan.
“Kita mempunyai kawanan calon hebat yang ramai dan bukan masalah tiada calon. Jadi kita perlu pilih dengan lebih teliti dan ia telah menyebabkan kita sedikit terlewat buat pengumuman,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Munajat Perdana dan Pengisytiharan Calon PN Negeri Sembilan di Sikamat dekat sini malam ini.
Pada majlis itu, Ahmad Faizal mengumumkan seramai 34 nama mewakili PN dalam PRN kali ini, kurang dua kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Daripada jumlah itu, seramai 15 calon dari Bersatu, PAS (13) dan Gerakan (6).
Terdahulu, PN mempertaruhkan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.
Selain itu, anak kepada bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim iaitu Danni Rais turut bertanding di DUN Klawang.
Danni dijangka berdepan dengan sepupunya daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Bakri Sawir.
Namun dua kerusi tidak diumumkan malam ini adalah DUN Jeram Padang dan Sri Tanjong disebabkan masalah teknikal dan akan dilakukan esok. – nasionalkini.my