in

Polis Kedah kenal pasti 20 lokasi ‘panas’

Gambar hiasan

Oleh Aimi Isma

ALOR SETAR, 2 Julai – Polis Kedah akan memberi tumpuan yang lebih di 20 lokasi di 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dikenal pasti dan dikategorikan sebagai kawasan ‘panas’ menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tumpuan itu dapat memudahkan pihaknya menjalankan penugasan lebih bersasar dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman semua pihak.

“Semua 20 lokasi itu adalah dalam kawasan 36 DUN di Kedah yang terlibat dalam PRN, tetapi jangan salah faham, walaupun dilabel sebagai kawasan ‘panas’ bukan bermaksud akan berlaku pertempuran atau pergaduhan besar-besaran di kawasan itu.

“Mungkin kita akan tambah jumlah anggota di lokasi berkenaan sekiranya perlu.

“Jumlah keseluruhan keperluan anggota bantuan pula lebih 1,900 orang dan kita telah mohon kepada Bukit Aman dan mereka yang akan tentukan kontinjen mana yang akan turun membantu,” katanya.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh menyerahkan daging kepada salah seorang penerima sempena Program Ibadah Korban IPK Kedah

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan polis telah mengenal pasti sebanyak 190 lokasi dikategorikan kawasan ‘panas’ di enam negeri yang terlibat dalam PRN.

Daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan ‘panas’ tertinggi dengan 70 lokasi, diikuti Terengganu (66 lokasi), Kedah (20 lokasi), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16 lokasi serta dua lokasi di Pulau Pinang.

Terdahulu, Fisol merasmikan Program Ibadah Korban Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Surau Perumahan Polis Taman Derga Jaya, dekat sini.

Sebanyak enam ekor lembu ditumbangkan dan dagingnya diagihkan kepada golongan asnaf, balu, anak yatim, ibu tunggal dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Roadcare ‘tumbang’ 6 lembu korban

Pelatih IPG tak layak terima eBelia Rahmah