Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 2 Julai – Pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak menerima bantuan eBelia Rahmah kerana mereka sudah menerima elaun bulanan RM450.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, elaun itu diberikan ketika kerajaan sebelum ini, maka bayarannya diteruskan.
“Pelajar di universiti lain pula tidak dapat kemudahan RM450 sebulan ini, maka sebab itu mereka diberikan bantuan RM200,” katanya ketika menjawab persoalan pelajar IPG yang menyatakan mereka tidak menerima bantuan eBelia Rahmah di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa pelajar IPG tidak mendapat manfaat inisiatif eBelia Rahmah.
Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan perkara tersebut tidak adil, sedangkan mereka juga pelajar sepenuh masa sama seperti penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) lain.
Mengulas lanjut, Ahmad meminta ahli politik terbabit menyemak fakta berhubung elaun pelajar IPG.
“Saya harap ahli politik terbabit semak fakta itu kerana pelajar IPG, mereka dapat lebih daripada yang lain melalui elaun yang disediakan (secara bulanan),” katanya.
Mengulas tentang eBelia Rahmah, Ahmad berkata, seramai dua juta belia berusia antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di IPT layak menerima kredit berjumlah RM200 melalui tiga platform e-Dompet mulai 26 Jun lalu.
Menurutnya, inisiatif eBelia Rahmah diumumkan di bawah Belanjawan 2023 yang matlamatnya untuk memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan belia di samping menyokong pertumbuhan ekonomi perusahan mikro, kecil dan sederhana. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN