in

Pihak berkuasa perlu ambik tindakan terhadap Victor Yong

Mohd Yazid Mohd Yunus

KUANTAN, 6 Disember – Kerajaan Madani dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap seorang lelaki dikenali dengan nama ‘Victor Yong’.

Ini kerana lelaki berkenaan menyentuh isu 3R melalui satu video yang tersebar di media sosial.

Timbalan Ketua BERSATU Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, sikap Yong ‘sangat melampau’ dan dilihat cuba mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

“Perbuatan Yong yang seolah secara tidak langsung menyentuh isu 3R ini sangat biadap dan memalukan.

“Dia mendakwa kononnya ingin menjadi ‘suara rakyat Malaysia’ dengan menyokong Zionis-Israel dan menghina negara Arab.

“Adakah Kerajaan Madani akan membiarkan saja perbuatan Yong ini? Saya harap pihak berkuasa boleh mengambil tindakan tegas kepada Yong,” katanya.

Sebelum ini tular satu video temubual antara Yong dengan pempengaruh Israel, Hananya Naftali, yang mendakwa ‘keganasan Arab radikal sangat aktif di Malaysia’.

Yong yang mendakwa tinggal di Johor berkata masyarakat Arab selama ini telah merosakkan pemikiran rakyat Malaysia terhadap Israel.

Mohd Yazid yang juga ADUN Lepar mencadangkan status kerakyatan Yong dilucutkan dan meminta lelaki itu berpindah ke Israel.

Katanya, tindakan Yong juga tidak menggambarkan perasaan sebenar rakyat Malaysia dalam isu pencerobohan rejim Zionis sejak lebih sebulan lalu di Gaza.

“Saya nasihatkan Yong supaya tidak cuba menguji kesabaran rakyat Malaysia, terutamanya yang beragama Islam.

“Dia sepatutnya lebih sensitif dalam hal ini kerana ia membabitkan hubungan antara dua negara – Malaysia dan Palestin,” katanya lagi.— nasionalkini.my

Rumah generasi kedua FELDA masih bermasalah

PAS Relief terima sumbangan hampir RM370,000 untuk Palestin