KUANTAN, 2 Mei – Penduduk di Kuala Kubu Bharu perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan pada 11 Mei ini.
Walaupun mereka mempunyai empat pilihan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, namun kriteria utama calon anak tempatan perlu diambil kira.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, calon ditampilkan Perikatan Nasional (PN) adalah pilihan terbaik ditawarkan kepada mereka.
“Khairul Azhari Saut adalah anak tempatan dan sudah pasti akan sentiasa berada di kawasan.
“Ini akan memudahkan urusan antara penduduk dan Khairul Azhari jika dia menang.
“Jangan pilih calon yang pandai ‘berlakon’ kerana mereka hanya datang dan pergi sesuka hati.
“Mereka bertanding hanya untuk jawatan dan bukannya berniat untuk memperjuangkan nasib penduduk di Kuala Kubu Bharu,” ujarnya.
Abdul Rasid yang juga ahli jawatankuasa PN Pahang menyifatkan tindakan kerajaan Perpaduan meletakkan calon daripada DAP adalah satu ‘bola tanggung’ yang perlu dimanfaatkan oleh jentera komponen PN.
“Kita tak tahu sejauh mana semangat perkauman yang masih bersisa dalam DAP selepas mereka sanggup ‘bersekedudukan’ dengan UMNO dan Barisan Nasional.
“Tapi kami tidak mahu pengundi di Kuala Kubu Bharu ‘memperjudikan’ masa depan mereka dengan memilih calon DAP.
“Kalau kita perhatikan, mereka sanggup buat apa saja ketika berkempen, tapi kita bimbang segala kebaikan dan lakonan itu akan hilang selepas kempen berakhir,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari (PN), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).— nasionalkini.my