KUANTAN, 8 April – Kerajaan perlu menyemak semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang pernah dibekukan sebelum ini.
AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, program itu dilihat hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja.
“Kalau boleh tangguh atau mansuhkan sehingga program itu dapat mencapai imbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita bimbang program seumpama ini akan mencetuskan ‘penjajahan moden’ oleh peserta dari luar negara, terutamanya dari China,” katanya.
Abdul Rasid yang juga Ketua BERSATU Cameron Highlands mengingatkan kerajaan bahawa negara ini pernah dijajah sejak zaman Kesultanan Melaka sehinggalah zaman pendudukan Jepun.
“Secara keseluruhannya, hampir 400 tahun kita menjadi mangsa penjajah dan moyang kita bermati-matian mencari jalan untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka.
“Alangkah rugi sekali jika kita biarkan ‘penjajah’ kembali menguasai negara ini,” katanya lagi.
Dia berkata, laporan rangkaian ejen hartanah global, IQI dikeluarkan 3 April lalu menunjukkan Malaysia menjadi negara kedua paling popular di Asia Tenggara selepas Thailand bagi pembeli dari China.
Katanya, laporan itu sepatutnya menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat memandangkan kemampuan kewangan oleh pelabur dari negara Tembok Besar itu membuka ruang kepada mereka membeli hartanah bernilai jutaan ringgit di Malaysia.
“Sejumlah 60 peratus pembeli China mengatakan mereka membeli untuk tujuan pelaburan di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Itu bahagian yang sama seperti pada 2018, sekitar 63 peratus mengatakan, mereka membeli untuk diduduki sendiri.
“Pembeli asing kini lebih kerap mencari rumah lebih besar dengan lebih banyak bilik dan bilik yang lebih besar.
“Sudah tentu kediaman seperti ini dijual pada harga yang tidak mampu dimiliki penduduk tempatan.
“Sekaligus, ia akan menimbulkan kesan negatif kepada pembentukan sosial di kawasan sekeliling hartanah itu,” ujarnya.
Difahamkan, seramai 57,478 individu termasuk tanggungan dibawa oleh pemegang pas MM2H dan terdapat 1,000 permohonan tertunggak yang tidak dapat diluluskan berikutan pembekuan program itu sebelum ini.– nasionalkini.my