in

Peluang ahli UMNO akar umbi tunjuk kuasa

Gambar hiasan

KUANTAN, 25 April – Kira-kira dua hari lagi gelanggang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu akan membuka tirai.

Mengambil kira gelombang penolakan semasa terhadap Kerajaan Madani, tugas berat dijangka bakal dipikul jentera daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), diketuai UMNO.

Dan tugas berat itu akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) yang semakin lantang menyatakan keyakinan mereka untuk memenangi PRK berkenaan.

Bagi Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali, keputusan PRK Kuala Kubu Bharu menjadi indikator penting terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rakyat dah penat… dah muak dengan janji dan formula yang tidak menampakkan hasil.

“Jadi, saya jangka keputusan PRK Kuala Kubu Bharu akan memihak kepada gabungan PN dan seterusnya memberi isyarat penolakan orang Melayu terhadap PH-BN,” katanya.

Dr Abdul Rasid Md Ali

Dia selaku ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PN Pahang meminta ahli UMNO akar umbi yang masih sayangkan parti itu, untuk memberi sokongan kepada PN dalam PRK berkenaan.

“Kalau mereka ahli UMNO yang tulen, sokonglah PN kerana perjuangan demi bangsa dan agama lebih jelas berbanding UMNO yang kini seolah-olah bergantung harap kepada ihsan DAP,” ujarnya.

Abdul Rasid turut memberi peringatan bahawa DAP juga sudah meminta UMNO mengenang jasa mereka ketika membantu calon BN pada PRK Pelangai tahun lalu.

“Nampaknya mereka (DAP) sudah mula menampilkan watak sebagai ‘abang besar’ dalam kerajaan Madani.

“Takkan ahli UMNO akar umbi belum sedar lagi… kerajaan Perpaduan yang ada hanya untuk memenuhi kemahuan sesetengah pemimpin mereka saja,” katanya.

Dia turut meminta jentera PN akan terus bekerja keras dalam memastikan kemenangan calon mereka dalam PRK itu.

Katanya, hanya dengan kemenangan bergaya dapat menutup mulut dan mematikan suara sombong pimpinan kerajaan Perpaduan yang sering mengecewakan rakyat sejak memenangi pilihan raya umum ke-15.— nasionalkini.my

Undi Melayu penentu PRK Kuala Kubu Bharu

Khairul Azhari calon PN untuk PRK Kuala Kubu Bharu