Oleh: Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR, 30 April – Kerajaan wajar menaikkan peruntukan kepada institusi pendidikan agama agar pembahagian secara purata yang lebih adil dan munasabah dapat dilakukan.
Ini selepas timbul isu Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) menerima purata jumlah peruntukan lebih besar berbanding institusi pendidikan agama.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, perkara ini diperjuangkan bukan atas dasar sentimen atau kepentingan politik tetapi ia adalah soal hak serta keadilan.
“Mana mungkin SMPC, sebuah institusi pendidikan swasta mendapat peruntukan secara purata sama rata, tetapi bukan institusi pendidikan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan.
“Jika peruntukan kepada SMPC tidak boleh dikurangkan atau dinilai semula, maka amat wajar kerajaan menaikkan peruntukan kepada institusi pendidikan agama,” katanya
Sebelum ini, Dr Muhammad Akmal mempersoalkan, peruntukan RM15.7 juta diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi SMPC.
Katanya, ia nyata berbeza dengan peruntukan RM150 juta kepada sekolah tahfiz dan institusi pondok.
“Jika dilihat secara terperinci, agihan peruntukan ini membangkitkan persoalan dari segi purata jumlah peruntukan yang diberikan.
“RM150 juta diperuntukkan bagi 1,276 buah sekolah (Institusi Sekolah Agama Berdaftar) yang membawa maksud setiap satu sekolah hanya mendapat RM 117,500 berbanding RM15.7 juta bagi 63 buah SMPC, satu sekolah mendapat RM250,000,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO akan menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri bagi menilai semula jumlah peruntukan yang diberi.
“Kita tidak mempertikaikan siapa yang wajar atau tidak diberi peruntukan kerana pendidikan adalah aset utama negara.
“Tetapi apa yang dipersoalkan adalah jumlah peruntukan yang disalurkan secara purata mestilah lebih adil dan munasabah,” katanya lagi. – nasionalkini.my