Aimi Isma
ALOR SETAR, 4 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) menyasarkan akan menerima sekurang-kurangnya 30 peratus kuota calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos depan.
Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun calon-calon yang akan ditampilkan itu perlu memiliki ciri-ciri WALI iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) dan ‘likeable’ (disenangi) bagi membolehkan mereka diterima rakyat.
“Pemuda UMNO sasarkan 30 peratus daripada calon yang dikemukakan UMNO pada PRN nanti adalah muka baharu atau calon daripada Pemuda..itu sasaran kita tetapi sudah pasti ia perlu realistik serta perlu lihat maklum balas akar umbi juga.
“Kita (Pemuda UMNO) juga sedang giat menjalankan jelajah di enam negeri yang akan mengadakan PRN bagi mendapatkan perincian menyeluruh mengenai sentimen dan pandangan akar umbi di peringkat bawahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau telah menghadiri Program Santai dan Ramah Mesra bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada di Kampung Panchor dekat Pokok Sena, hari ini.
Akmal berkata hasil yang diperolehi daripada jelajah itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Biro Politik UMNO dalam memastikan semua persiapan menghadapi pilihanraya dilakukan mengikut kehendak pengundi.
“Kita mahu lihat sentimen rakyat kerana ada kawasan yang masih rasa calon dari golongan muda tidak boleh diletakkan, jadi kita akan kemukakan calon yang lebih senior dan sebaliknya..semuanya akan diperincikan nanti,” katanya. – nasionalkini.my