Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 9 Mei – Pemuda kerajaan akan melancarkan ‘Geng Perpaduan’ yang dianggotai sayap pemuda parti-parti kerajaan Ahad ini untuk memperkasakan jentera kempen bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pengumuman jentera baharu itu akan dibuat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
“Koloberasi ini melibatkan semua pemuda dalam BN, Pakatan Harapan (PH), Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Muda menjelang PRN tidak lama lagi.
“Ini sekaligus menunjukkan hubungan di peringkat sayap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sangat baik terutama sayap pemuda yang mempunyai persefahaman hampir sama.
“Ia juga membuktikan tiada cakap-cakap nakal kononnya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ini goyah dengan tertubuhnya jentera pemuda dinamakan Geng Perpaduan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Negeri Melaka, di Hotel Lacrista, Bandar Melaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, dijangkakan seramai lebih 2,000 pemuda akan hadir pada majlis pelancaran Geng Perpaduan, Ahad ini.
“Inilah bukti hasil satu keserasian hubungan yang dapat kita terjemahkan atas semangat #binabersama bagi memastikan gerak kerja yang terbaik dalam menghadapi PRN,” katanya – nasionalkini.my