in

Mahathir, Muhyiddin bertemu malam tadi

Pertemuan antara Mahathir dan Muhyiddin malam tadi bagi membincangkan hal berkaitan Proklamasi Melayu dan PRN di enam negeri

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, dikatakan bagi berbincang berkenaan Proklamasi Melayu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Khairuddin Abu Hassan yang turut hadir dalam pertemuan itu.

Ia diadakan sehari selepas kunjungan Pengerusi PN Selangor Azmin Ali yang turut membincangkan isu orang Melayu.

“Pertemuan antara kedua tokoh pemimpin melayu yang sanggup ketepikan perbedaan politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini harus diberi pujian melangit.

“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baru kepada keseluruhan orang-orang melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan melayu secara mutlak,” kata Khairuddin dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

Kata Khairuddin lagi, pertemuan hampir dua jam itu sangat bermakna dan merupakan manifestasi “penyatuan Melayu secara total” yang sedang diusahakan Mahathir.

Mahathir dan Muhyiddin mengadakan perjumpaan malam tadi di ibu negara

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Mahathir atau Muhyiddin yang memulakan pertemuan itu, serta di mana ia dibuat.

Muhyiddin dan Azmin merupakan antara pemimpin politik utama yang menggerakkan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyebabkan runtuhnya pentadbiran PH yang diketuai Mahathir.

Pada awal bulan lalu, Mahathir dilaporkan berkata dia sedia bekerjasama dengan Muhyiddin jika kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Sehari kemudian, Muhyiddin berkata dia menyambut baik kenyataan itu dan berkata dia juga bersedia untuk berbuat demikian demi “membela agama, bangsa dan negara”.

Ketika ini Mahathir mengetuai gerakan Proklamasi Melayu, yang mendapat sokongan daripada Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Mahathir juga menyatakan dia kini menyokong Perikatan Nasional untuk pilihan raya enam negeri akan datang. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Fauziah Nawi kini bergelar Datuk

PRN enam negeri pada 12 Ogos