KUANTAN, 2 Jun – Kesanggupan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu membawa pulang wang yang didakwa berada di luar negara sangat dihargai.
Bahkan, kenyataan Mahathir itu wajar disambut oleh perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara segera dan bersungguh-sungguh.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berpandangan kerajaan Perpaduan perlu membantu Mahathir dalam hal ini kerana ia membabitkan kepentingan awam.
“Perkara utama ialah kita kena ucap tahniah kepada Tun kerana berani dan bersedia membawa pulang wang yang dikatakan ‘dicuri’ dan berada di luar negara.
“Jadi tugas Anwar adalah untuk menunjukkan di mana wang itu ‘disembunyikan’ supaya proses membawa balik lebih mudah dilakukan.
“Saya fikir semua rakyat pun nak tahu di mana duit itu berada… dan mahu ia dibawa pulang segera supaya boleh digunakan untuk memajukan negara,” katanya.
Dr Abdul Rasid berkata, duit jutaan ringgit itu apabila berjaya dibawa balik, perlu diagihkan secara saksama supaya setiap rakyat tanpa mengira kaum memperoleh manfaat.
“Oleh itu kita sangat berharap bahawa duit itu wujud supaya segala tohmahan sebelum ini dapat dibuktikan,” katanya.
Dia juga meminta kerajaan Madani dapat memastikan proses pengagihan kekayaan negara dilakukan dengan lebih saksama.
Mahathir melalui satu kenyataan pada Jumaat lalu memaklumkan dia sedia membawa pulang kembali wang yang didakwa ‘dicuri’ olehnya sewaktu mentadbir negara untuk membantu orang Melayu yang miskin.
“Anwar mendakwa saya telah curi berbillion duit kerajaan semasa saya jadi perdana menteri.
“Saya hairan kerana saya tidak pernah tengok duit ini dan tidak tahu di mana duit ini ada… yang tahu ialah Anwar kerana dia yang mendakwa saya miliki duit berbillion ini,” kata Mahathir. – nasionalkini.my