in

MPT BERSATU kekal sokong Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Konspirasi untuk memecah-belah BERSATU didakwa gagal selepas semua kepemimpinan parti menyatakan sokongan untuk berdiri teguh di belakang Muhyiddin Yassin selaku Presiden.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Mohamed Azmin Ali, melalui satu muat naik di Facebook malam tadi.

“Usaha musuh yang berkonspirasi untuk memecah keutuhan BERSATU telah gagal dan berkecai. Kami tetap BERSATU.

“MPT bersidang malam tadi dan mengulangi ikrar dan tekad kami untuk meneruskan perjuangan yang keramat ini demi umat dan negara.

“MPT sebulat suara mendukung dan mempertahankan kepemimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN),” katanya menurut laporan BH Online.

Sebelum ini, BERSATU digambarkan seolah-olah retak dengan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan 10 lagi rakan Ahli Parlimen dari parti itu dijangka memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelang pembukaan sidang Parlimen, 26 Februari ini.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen BERSATU sudah menyatakan sokongan kepada Anwar.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Syed Abu Husin juga mendakwa BERSATU kini mempunyai dua kem dengan sebahagian besar Ahli Parlimen parti itu mahu Setiausaha Agung, Hamzah Zainuddin diangkat sebagai teraju menggantikan Muhyiddin.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang melalui muat naik sama menegaskan BERSATU dan PN diasak musuh kerana ia adalah ancaman utama kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang rapuh serta menanti saat untuk rebah.– nasionalkini.my

Maut ditikam akibat salah faham

Proses ubah suai Kenari hampir siap