PETALING JAYA, 5 Julai – Seniwati, Datuk Fauziah Nawi meluahkan rasa syukur atas Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kurniaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.
Dramatis terkenal yang sudah lima dekad dalam industri itu menyifatkan anugerah terbabit sebagai pengiktirafan kepada golongan seni.
“Alhamdulillah, saya ingin panjatkan kesyukuran dan rasa terima kasih atas kurniaan darjah kebesaran ini daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Hakikatnya pengiktirafan ini memberi makna yang cukup mendalam kepada saya serta pengkarya lain amnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Fauziah, 70, tidak lupa menzahirkan terima kasih ramai pihak yang tidak henti-henti merakamkan ucapan tahniah.
“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang menghantar ucapan tahniah.
“Namun, saya meminta maaf tak dapat menjawab kesemuanya, jangan terasa hati,” katanya lagi.
Bintang versatil yang sinonim dengan watak air mata itu sebelum ini merupakan Tokoh Seri Angkasa, Anugerah Seri Angkasa 2022.
Terdahulu, Fauziah menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) bagi kategori penggiat seni sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN