Selepas November 2022, negara menyaksikan satu lagi sejarah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dipilih sebagai Perdana Menteri.
Bahkan, apabila Anwar dilantik, pelbagai kisah kejayaan hebatnya sebagai Menteri Kewangan era Tun Dr Mahathir Mohamad dicanang ke sana sini.
Namun, menjelang tahun kedua dia memegang jawatan itu, banyak kisah kejayaan lama nampaknya gagal diterjemahkan dalam membuat polisi untuk kebajikan rakyat.
Bukan sedikit rakyat mengeluh dan mengadu, bahawa Kerajaan Perpaduan terlalu banyak mengenakan cukai kepada mereka.
Dalam keadaan majoriti rakyat masih berjuang untuk kelangsungan hidup, langkah memperkenalkan pelbagai cukai baru adalah kurang bijak.
Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berpandangan, Anwar dan pasukan Kabinet yang ada hari ini tidak serius dalam mendengar keluhan rakyat.
“Cukai bermacam jenis diumumkan manakala subsidi pula sedikit demi sedikit ditarik balik.
“Adakah ini formula yang betul dalam merancakkan ekonomi rakyat.
“Sangat pelik dengan pendekatan diambil Kerajaan Perpaduan, seolah tidak belajar daripada teguran rakyat sejak setahun lalu,” katanya.
Dr Abdul Rasid juga mendakwa harga barangan keperluan asas menunjukkan peningkatan konsisten sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Paling ketara ialah harga beras yang tidak diketahui sama ada beras import atau beras tempatan.
“Ada juga dengar kerajaan nak perkenalkan beras Madani, tapi sehingga sekarang masih belum muncul di pasaran,” ujarnya.
Dia yang juga AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang mendakwa isu penarikan subsidi utiliti gagal dijelaskan dengan teliti oleh kerajaan.
“Jadi bagaimana agaknya penerangan kerajaan apabila rakyat menerima bil elektrik bulanan mereka selepas ini.
“Kita dalam keadaan tertanya-tanya mengenai segala rasional yang akan diberikan,” jelasnya.
Akibat segala jenis kepayahan dihadapi rakyat, pendapatan boleh guna semakin terhad dan kemampuan menabung semakin mengecil, tidakkah kerajaan simpati dengan semua ini.
“Yang paling seronok sejak Kerajaan Perpaduan ini dibentuk sudah tentu kumpulan kartel yang terus menguasai ekonomi negara.
“Mungkin inilah bencana apabila rakyat terpaksa meneruskan hidup di bawah kerajaan bukan pilihan mereka,” katanya lagi.
Dr Abdul Rasid turut memaklumkan, sudah sampai masanya untuk rakyat belajar bahawa segala kehebatan Anwar hanyalah mitos atau dongeng yang sedap didengar, tapi susah dibuktikan.– nasionalkini.my