in

Ahmad Najmi dilantik pengurus skuad hoki lelaki

Gambar oleh Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Barisan kepimpinan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dilantik sebagai pengurus pasukan skuad hoki lelaki kebangsaan bagi menggantikan Datuk Mirnawan Nawawi sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal dengan menyatakan Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebagai individu paling layak untuk mengemudi skuad baharu Speedy Tigers dikendali Sarjit Singh.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Majid Manjit Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan) dan Datuk Najmi sendiri untuk melantik beliau sebagai pengurus pasukan.

“Walaupun dia Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, tapi kami merasakan beliau juga adalah orang yang paling layak kerana beliau paling dekat dengan pasukan.

“Oleh itu, untuk pasukan lelaki, Datuk Najmi sebagai pengurus pasukan kebangsaan,” kata Subahan ketika ditemui Bernama.

Awal tahun ini, KHM membuat keputusan untuk pembubaran skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan untuk membina semula pasukan yang baharu.

Sebelum ini, skuad lelaki senior kebangsaan gagal dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila menamatkan saingan di tempat keenam.– nasionalkini.my

Kerajaan Madani dibina melalui komplot tersembunyi?

Fadhlina Sidek wajar ‘ambil cuti’ atau letak jawatan