in

Zionis bunuh lebih 100 wartawan

Gambar oleh Reuters

GAZA CITY, 28 Januari – Jumlah wartawan yang dibunuh tentera Zionis sejak permulaan serangannya di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu meningkat kepada 120 orang, menurut pejabat media Gaza semalam.

“Jumlah wartawan yang terbunuh sejak permulaan perang genosid di Semenanjung Gaza meningkat kepada 120, selepas rakan sekerja kami Iyad Al-Rawwagh, penyiar dan penyampai di stesen radio Al-Aqsa Voice, dibunuh Zionis di kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza,” menurut pejabat itu.

Isnin lalu, pejabat kerajaan berkata Zionis membunuh wartawan dalam usaha untuk mengaburkan naratif Palestin dan memadamkan kebenaran.

Memetik laporan Agensi Anadolu, sejak permulaan perang, Zionis juga menahan kira-kira 10 wartawan yang nama mereka telah dikenal pasti.

Walaupun keputusan sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Zionis meneruskan serangannya ke atas Semenanjung Gaza, yang mana sekurang-kurangnya 26,257 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan 64,797 cedera sejak 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Serangan regim Zionis telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus daripada infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).– nasionalkini.my

Kesukaran Amrol dapat perhatian

Pertahan institusi Yang di-Pertuan Agong