BOGOTA, 23 Mei – Presiden Colombia, Gustavo Petro, mengarahkan kedutaan negara ini dibuka di bandar Ramallah, Palestin, kata Menteri Luar, Luis Gilberto Murillo, semalam, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Presiden Petro telah memberi arahan untuk kami membuka Kedutaan Colombia di Ramallah. Itu adalah langkah seterusnya yang akan kami ambil,” kata Murillo kepada pemberita.
Pengumuman itu dibuat selepas kerajaan pimpinan Petro menarik balik diplomat Colombia dari Zionis dan memutuskan hubungan dengan Israel pada 2 Mei lalu, selepas menyifatkan tindakan rejim Zionis di Gaza sebagai ‘genosid.’
Hasrat untuk membuka Kedutaan Colombia di Palestin telah diumumkan Petro pada 20 Oktober tahun lalu ketika dia bertemu Duta Zionis, Gali Dagan, dan Duta Palestin, Raouf Almalki.
Mengulas lanjut, Murillo berkata, Petro juga mengetuai mesyuarat pemimpin di Saint Vincent dan Grenadines yang mana mereka bersetuju untuk melaksanakan strategi supaya Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami yakin bahawa lebih banyak negara akan mengiktiraf Palestin, dan ini bukanlah sesuatu yang menentang Zionis atau Yahudi.
“PBB bersetuju dalam konteks Perjanjian Oslo bahawa penyelesaian dua negara akan diwujudkan dan jika dua negara diperlukan, Palestin perlu diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah,” katanya.
Pengumuman berkenaan dibuat pada hari sama Sepanyol, Ireland dan Norway mengumumkan akan bersama-sama mengiktiraf negara Palestin pada 28 Mei ini.
Colombia telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada 3 Ogos 2018 ketika bawah pemerintahan Juan Manuel Santos. – nasionalkini.my