KEKEJAMAN regim Zionis terhadap rakyat Palestin makin menggila dengan lokasi seperti hospital yang menjadi tempat perlindungan orang awam termasuk kanak-kanak dibom hingga mengorbankan lebih 500 nyawa.
Serangan udara oleh rejim Zionis ke atas Hospital Arab Al-Ahli yang terletak di tengah Gaza boleh disifatkan sebagai tidak masuk akal dan melampaui batas.
Jika disahkan, angka kematian itu menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008.
Pada 13 Oktober tahun lalu, penduduk Palestin diarahkan meninggalkan kediaman mereka di Semenanjung Gaza ke selatan dalam masa 24 jam.
Kira-kira 1.1 juta rakyat Palestin dilapor memulakan perjalanan dengan berjalan dan menaiki kenderaan susulan amaran Zionis itu.
Namun malangnya, mereka yang mengikut arahan itu telah dibom oleh rejim Zionis ketika dalam perjalanan berpindah hingga meragut puluhan nyawa.
Bagi Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia (MINM), Dr Abdul Rasid Md Ali, kezaliman regim diketuai Benjamin Netanyahu itu sudah terlalu melampaui batas.
“Tidak cukup dengan semua tindakan ketenteraan oleh Zionis, media tempatan melaporkan penjenayah perang itu melakukan serangan ke atas 12 bangunan dalam hanya satu minit tanpa memikirkan mangsa yang terbunuh akibat serangan tersebut,” ulasnya.
Sejak konflik tercetus 7 Oktober lalu, Zionis membunuh hampir 33,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 9,000 orang.
Walaupun ramai pemimpin dunia mengecam tindakan disifakan perbuatan gila, tidak berperikamanusiaan, jenayah perang paling hina dan macam-macam lagi label, namun tidak ada mana-mana pihak yang mampu menghentikan kezaliman pasukan tentera Zionis.
“Persoalannya, sampai bila kegilaan Zionis akan terus dibiarkan? Adakah sehingga lesapnya rakyat Palestin di muka bumi ini?
“Tindakan segera perlu diambil oleh negara seluruh dunia kerana ia bukan perjuangan mempertahankan agama, tetapi membabitkan nilai kemanusiaan,” kata Dr Abdul Rasid lagi.
Tindakan Netanyahu pada Februari lalu yang mengemukakan ‘Pelan Pemindahan Rafah’ dilihat sebagai usaha berterusan Zionis untuk melenyapkan penduduk Palestin di Gaza.
Dr Abdul Rasid memberitahu, jika pelan itu dilaksanakan, sudah pasti lebih banyak nyawa terkorban dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang lebih menakutkan.
“Pada pandangan saya, sebagaimana anda tahu, pengendalian tindak balas di Gaza… di Semenanjung Gaza… sudah melampaui batas.
“Terdapat ramai orang tidak bersalah sedang kebuluran… dalam kesengsaraan serta mati, dan ia harus dihentikan,” katanya. – nasionalkini.my