in

BN, PH Kelantan selesai agih kerusi

20230605 141716
Gambar hiasan

KOTA BHARU, 5 Jun – Pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan memutuskan 14 kerusi akan ditandingi calon Pakatan Harapan (PH) dan 31 kerusi lagi untuk calon Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata pengagihan kerusi itu dibuat menerusi satu mesyuarat diadakan lebih seminggu lalu dan setakat ini, uruskan berkaitan perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Pembahagian kerusi antara BN dan PH mencapai kata sepakat apabila PH hanya mahu 14 kerusi, manakala BN pula bertanding 31 kerusi.

“Ada kawasan Parlimen yang PH minta mahu bertanding di dua Dewan Undangan Negeri (DUN), ada satu kerusi saja dan ada juga Parlimen yang PH tidak bertanding di DUN langsung.

“Ini menunjukkan kerjasama antara BN dan PH berjalan lancar kerana dalam pembahagian kerusi itu tidak ada bantahan,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh itu berharap PRN akan datang juga berjalan lancar kerana mereka mahu membantu rakyat Kelantan mendapat manfaat.

Gambar hiasan

Justeru, beliau berkata, rakyat Kelantan perlu membuat keputusan bijak dalam PRN itu walaupun ada yang mahu mengekalkan PAS sebagai kerajaan negeri.

“Rakyat jangan bagi kerusi yang banyak kepada PAS, sebaliknya mereka perlu membantu memastikan BN serta PH mendapat kerusi yang banyak untuk menjadi pembangkang yang kuat.

“Kita ingin membantu rakyat Kelantan dengan menjadi sebagai semak dan imbang yang kuat. Seterusnya rakyat akan mendapat pembelaan kerana kerajaan tidak boleh buat sewenang-wenangnya.

“Jika rakyat memberi kemenangan 45 kerusi kepada PAS, kerajaan negeri mungkin akan buat sesuka hati,” katanya.

Zawawi berkata, rakyat perlu membuat keputusan bijak supaya tidak ada parti menang dua pertiga kerusi pada PRN ini.

“Kita mahu rakyat selamat dalam apa juga keputusan dan tindak tanduk kerajaan, contohnya isu air, cukai dan bebanan lain kepada rakyat.

“PRN adalah masa rakyat menuntut janji dibuat PAS dulu yang mana batu asas diletak sampai hari ini tidak dilaksanakan seperti pelabuhan darat, isu air dan sebagainya, selain peluang pekerjaan masih kurang, masalah sosial serta sumbang mahram masih tinggi,” katanya yang mahu Kelantan menjadi satu komuniti bermoral. – nasionalkini.my

Negara kini di landasan tepat – YDP Agong

WhatsApp Image 2023 06 05 at 14.27.27

Bayi lelaki hidap jantung berlubang perlu bantuan RM70,000