IRWAN LEE
PULAU PINANG, 5 Jun : Seorang bayi lelaki berusia sembilan hari memerlukan kira-kira RM70,000 bagi menampung kos pembedahan dan rawatan penyakit jantung berlubang, saluran jantung sempit dan dinding jantung bocor yang dihidapinya.
Aftab Gabriel Raees, dikesan menghidap masalah jantung berlubang, saluran jantung sempit dan dinding jantung bocor selepas mempunyai masalah kesukaran bernafas kira-kira dua hari selepas dia dilahirkan.
Bayi berkenaan kini ditempatkan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Kulim, bagi rawatan lanjut dan pemantauan doktor.
Ibu bayi berkenaan, Raihana Humaira Mohamed Ghaus,35, berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah ketika melahirkan anak keempatnya itu pada 28 Mei lalu.
Namun katanya, kira-kira dua hari selepas bayinya dilahirkan dia mendapati dada anaknya seperti berombak selain bernafas dengan agak laju.
“Selepas dilahirkan anak saya seperti bayi normal yang lain, dia boleh bernafas dengan baik serta minum susu seperti biasa.
“Tiba-tiba pada hari kedua anak saya mengalami sesak nafas dan paras oksigennya jatuh mendadak, kemudian doktor mengesahkan anak saya mempunyai masalah jantung berlubang, saluran jantung sempit dan dinding jantung bocor,” katanya di sini hari ini.
Raihana Humaira yang bekerja sebagai pembantu perpustakaan desa berkata, doktor memaklumkan bahawa anaknya perlu menjalani pembedahan saluran jantung sempit dan dinding jantung bocor bagi membolehkan dia bernafas dengan sempurna.
“Kos rawatan mungkin sekitar RM70,000, dan kos berkenaan amat tinggi bagi saya dan suami yang bekerja sebagai warden penjara kerana kami turut mempunyai tanggungan keluarga yang lain,” katanya.
Raihana Humaira berkata, sebagai seorang ibu, dia amat sedih melihat keadaan anaknya yang masih kecil namun perlu memakai alat bantuan pernafasan bagi mengurangkan beban pada jantungnya.
“Tiada istilah berpantang dengan sempurna bagi saya kali ini kerana saya perlu berulang-alik dari rumah saya di Nibong Tebal ke Hospital Kulim setiap hari bagi melihat anak saya.
“Sebagai ibu saya hanya mahukan anak saya sembuh dan sihat seperti bayi lain, namun saya bimbang kerana tidak mampu dari segi kewangan,” katanya – nasionalkini.my