in

BN kekal kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu akan terus dibentuk hasil mandat diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang berakhir semalam.

“BN bersama rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan PRN enam negeri yang sudah diterjemahkan oleh rakyat pada hari ini (semalam).

“Keputusan diumumkan sudah mengekalkan penguasaan Kerajaan Perpaduan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Mandat diperoleh hari ini juga menjadi asas kebersamaan parti di bawah Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerjasama dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan ini untuk tempoh lima tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Katanya, BN juga mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya dan menang dalam PRN kali ini.

“Terimalah amanah ini untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

“Buat yang tidak berjaya, teruslah beristiqomah dan jangan pernah berhenti untuk terus memperjuangkan aspirasi rakyat di saat kita berhadapan pelbagai cabaran.

“Kepada seluruh rakyat yang telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah mengundi sekaligus menyuburkan proses demokrasi dalam negara, ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen dan keprihatinan demi menentukan masa depan yang lebih baik buat negeri dan negara,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti, jentera dan sukarelawan yang sudah bekerja keras menjayakan kempen dan bertungkus-lumus membantu BN.

“Kini, masa untuk kita bersatu hati dan terus bekerja keras demi memastikan perpaduan dipelihara, kestabilan dijaga demi kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Berdasarkan keputusan diumumkan malam tadi, BN – khususnya UMNO menang 19 daripada 108 kerusi DUN ditandingi di semua negeri terbabit.- nasionalkini.my

MUDA tewas semua kerusi di Selangor

Skuad hoki tewas aksi final lawan India