in

Skuad hoki tewas aksi final lawan India

Gambar oleh AFP

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Skuad hoki negara terlepas peluang mencipta sejarah lebih besar dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 apabila tewas 3-4 kepada tuan rumah, India pada aksi final di Chennai, malam tadi.

India terlebih dahulu berada di depan menerusi Jugraj Singh yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan, namun skuad negara berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Aksi suku kedua menjadi milik Malaysia apabila memperoleh dua gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain.

Bagaimanapun, asakan bertali arus dilakukan India pada suku ketiga membuahkan hasil apabila mereka berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke Harmanpreet Singh dan jaringan padang Gurjant Singh pada minit ke-45.

Akashdeep Singh muncul pemusnah impian Malaysia apabila menyumbang gol kemenangan India pada minit ke-56, sekali gus memberi kejuaraan keempat skuad negara itu dalam kejohanan ACT.

Terdahulu, Malaysian Tigers yang dibimbing Arul Selvaraj mencipta sejarah mara ke final kejohanan itu buat kali pertama selepas membelasah juara bertahan, Korea Selatan 6-2 dalam aksi separuh akhir, semalam.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah mara ke final ACT sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2011 dengan pencapaian terbaik adalah menduduki tempat ketiga pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.- nasionalkini.my

BN kekal kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan

pas 1

Pembangkang lenyap di DUN Terengganu, PAS menang bergaya