KUALA LUMPUR, 14 Mei – Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang pertama kali berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini menyaksikan ketua wanita daripada parti dalam kerajaan menandatangani Lima Tekad Resolusi Wanita Kerajaan Perpaduan.
Lima pemimpin parti wanita itu menandatanganinya iaitu Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu; Ketua Wanita Gerakan Parti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah; wakil Ketua Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Flovia Ng dan Ketua Wanita Parti Warisan, Norfaizah Chua.
Menurut kenyataan bersama, resolusi itu akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan memastikan kesepakatan rakyat supaya rakyat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni dan sejahtera.
Parti pergerakan wanita juga akan menjadi peneraju utama dalam pembangunan komuniti masyarakat Madani.
“Melaksanakan agenda pemerkasaan wanita bagi memastikan golongan itu memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi negara.
“Memastikan penglibatan kira-kira 30 peratus wanita dalam membuat keputusan di setiap peringkat demi memastikan hak serta kepentingan wanita terpelihara dalam konteks mengupaya dan mencapai kesaksamaan,” tambah kenyataan itu.
Resolusi itu juga akan memastikan wanita mendapat pembelaan dan perlindungan daripada aspek kebajikan, pendidikan, keselamatan, sosial dan hak asasi manusia.
Resolusi ditandatangani semua pimpinan parti wanita itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – nasionalkini.my