in

Rakyat tak patut jadi mangsa politik

Gambar oleh Bernama

KOTA BELUD, 9 Januari – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak, khususnya pemimpin agar tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa atau mempertaruhkan ‘harga mahal’ untuk mencapai kepentingan politik kelompok tertentu.

Timbalan Perdana Menteri menekankan, perbezaan pendapat atau ideologi politik bukan suatu permasalahan pokok di negara ini yang mengamalkan sikap terbuka, namun keutamaan perlu diberikan kepada kepentingan rakyat terlebih dahulu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berusaha keras untuk memastikan politik negara ini dipertahankan dan kekal stabil.

“Ini kerana kestabilan politik sesebuah negara itu seterusnya akan membawa kepada pembangunan, ekonomi mapan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.

“Pemimpin politik perlu berpegang pada janji setelah suatu perkara itu dipersetujui.

“Jangan jadikan politik untuk kepentingan kelompok tertentu, dan seterusnya rakyat pula menjadi mangsa.

“Jadikan Sabah sebagai contoh untuk kita menyantuni perbezaan dalam kepelbagaian.

“Kerjasama seperti di Sabah harus dijadikan contoh dan diperkukuhkan demi membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian 2023 di Kampung Kadamaian, di sini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.— nasionalkini.my

Jangan pandang rendah Harimau Malaya

Kenyataan dibuat Menteri KPDN mengecewakan