KUALA LUMPUR, 15 September – UMNO kekal menjadi entiti dalam Kerajaan Perpaduan yang menerajui pentadbiran negara seperti mana dipersetujui sebelum ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata persetujuan itu dicapai oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara perbincangan bersama.
Sehubungan itu, jelasnya, tidak timbul sebarang isu berkaitan UMNO perlu bergerak solo dalam pentadbiran negara.
“Keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO mengenai keberadaan kita dalam kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, malam tadi.
Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat malam ini tidak membincangkan isu menyentuh Ahli MKT, Isham Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Katanya, isu membabitkan pemecatan beberapa ahli UMNO tidak dibangkitkan dalam mesyuarat malam ini, sebaliknya tertumpu kepada usaha memperkasakan parti itu.
“Isham tidak hadir mesyuarat, jadi tiada apa-apa isu yang dibangkitkan oleh beliau,” katanya lapor BH Online.
Kelmarin, Isham dalam kenyataan di Facebook mendakwa ada beberapa ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat berkenaan termasuk dirinya.
Beliau mendakwa ia susulan kelantangan mereka mengkritik keputusan pimpinan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) menyertai pilihan raya.
Muhammad Jailani pula dikatakan berdepan tindakan kerana menghadiri majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajid berkata, mesyuarat malam ini turut membincangkan langkah memperkukuh hubungan kerjasama UMNO dengan rakan parti komponen dalam PH di semua peringkat termasuk negeri dan bahagian seluruh negara.
Katanya, ia bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui Kerajaan Perpaduan seperti ketetapan MKT UMNO pada 23 November 2022 serta diabsahkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 10 Jun lalu.
“Kita juga meminta seluruh pimpinan UMNO yang menganggotai pentadbiran negara terutama menteri, timbalan menteri, pengerusi agensi serta syarikat milik kerajaan memberi fokus agenda mensejahterakan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.
Asyraf berkata, UMNO menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mewujudkan kembali Konvensyen Ekonomi Bumiputera.
Sehubungan itu, katanya, UMNO menawarkan untuk mengurus selia penganjurannya seperti pernah dilaksanakan pada 1965 sehingga tertubuhnya Majlis Amanah Rakyat (MARA) setahun kemudian.
“MKT juga membincangkan langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan bedah siasat keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Ia diperoleh daripada semua UMNO bahagian seluruh negara termasuk sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Kita mahu mengadakan Konvensyen UMNO bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti, selain membumikan kefahaman ahli parti di peringkat akar umbi mengenai ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip serta hala tuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, MKT turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Mereka bekerja keras bagi memastikan kemenangan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan daripada PH,” katanya.- nasionalkini.my