KUALA LUMPUR, 18 Julai – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selamat menjalani pembedahan di bahu kanan akibat kecederaan lama di Hospital Pakar Damansara 2, Kuala Lumpur, hari ini.
Royal Press Office (RPO) dalam kenyataan memaklumkan, baginda akan menjalani rawatan susulan radiofrekuensi selama beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Johor.
“Pembedahan berjalan dengan baik dan saya juga berada dalam keadaan baik.
“Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pasukan petugas perubatan yang terlibat dan juga kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya,” titah baginda.
Prosedur pembedahan yang berlangsung selama tiga jam itu melibatkan beberapa doktor pakar yang terdiri daripada pakar ortopedik, Dr Tan Chin Khoon, Dr Simmrat Singh Jagdis Singh dan Dr Shamsul Iskandar Hussein.
Selain itu, turut terlibat adalah, Dr Naveen Rajadurai (Radiologi); Dr Zuraini Md Noor (pakar bius) dan Datin Dr Vanitha Sivanaser (pakar bius).
Turut mengiringi baginda adalah Datuk Dr Subrahmanyam Balan yang merupakan doktor peribadi baginda.
Baginda juga kelihatan sempat meluangkan masa beramah-mesra bersama pasukan petugas perubatan selepas selesai menjalani pembedahan. – nasionalkini.my