GENTING HIGHLANDS, 22 Julai – Acara motosikal lasak Givi Rimba Raid Taman Negara edisi ke-lapan akan berlangsung pada 31 Ogos hingga 2 September ini.
Jarak 220 kilometer membabitkan laluan mencabar di Taman Negara Kuala Tahan, dekat Jerantut, itu adalah antara acara utama dalam kalendar pelancongan Tourism Pahang tahun ini.
Majlis penyerahan kit perlumbaan mencabar itu dilakukan hari ini oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man di Genting Highlands.
Turut hadir Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Yu Man berkata, penganjuran acara itu bakal memberi impak besar kepada sektor pelancongan sukan ekstrem di Pahang.
“Seramai 139 peserta dari luar negara mengambil bahagian dalam acara edisi kali ini.
“Mereka datang dari 25 negara dan penyertaan dari luar negara yang kita terima adalah lebih tinggi berbanding peserta tempatan,” katanya.
Jumlah penyertaan keseluruhan termasuk peserta dari Malaysia adalah seramai 270 orang, melibatkan 219 penyertaan berkumpulan dan 51 penyertaan individu.
“Seramai 20 peserta wanita dari enam negara turut mengambil bahagian dalam acara tahun ini.
“Mereka akan bersaing dengan peserta lelaki dalam tiga kategori iaitu Kelas A, Kelas B dan Kelas C,” katanya.- nasionalkini.my