KUALA LUMPUR, 15 September – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Eksesais COPE TAUFAN 2023 bersama Pacific Air Forces (PACAF) bermula 16 hingga 29 September ini.
TUDM menerusi kenyataan media rasmi hari ini memaklumkan sepanjang tempoh itu, aset TUDM dan PACAF akan melakukan penerbangan taktikal di kawasan yang digazetkan sebagai kawasan latihan.
Ia membabitkan ruang udara di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Pahang dan Perak.
“Latihan ini bertujuan memperkasakan kesiapsiagaan TUDM dalam mempertahankan kedaulatan negara, meningkatkan tahap saling kendali, perkongsian maklumat, kerjasama serta hubungan dua hala antara kedua-dua angkatan udara.
“Latihan ini akan melibatkan aset udara pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.
Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan tidak cemas jika melihat aset-aset berkenaan beroperasi di kawasan latihan sepanjang tempoh eksesais dijalankan.- nasionalkini.my