KUALA LUMPUR 18 Mei – Seorang wanita cedera selepas sebuah bilik di Kem Wardieburn di sini terbakar kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zaid Zainal berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 8.56 malam sebelum sampai tempat kejadian sembilan minit kemudian.
“Kita menghantar pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju selain mendapatkan bantuan daripada BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Setapak.

“Kita juga menghantar beberapa jentera antaranya termasuk dua buah FRT, sebuah LFRT dan dua jentera ‘water tanker’ bersama 36 anggota bomba,” ujarnya.
Zainal berkata, bilik berkeluasan 10×10 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya menyebabkan anggota terpaksa melakukan pemadaman menggunakan kaedah offensive dan defensive bagi mengawal serta memadam kebakaran.
“Kebakaran bagaimanapun dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10.08 malam.
“Wanita yang cedera berkenaan berumur 40-an dan telah dipindahkan kepada pasukan perubatan ATM bagi rawatan lanjut,” katanya. – nasionalkini.my