Aimi Isma
ALOR SETAR, 25 Julai – Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun ditahan polis selepas mencederakan seorang pegawai dan seorang anggota polis menggunakan sebilah pisau pemotong kertas di hadapan sebuah rumah di Taman Selasih, Kulim, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, sebelum kejadian, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim telah menerima panggilan kira-kira pukul 10.45 pagi dari seorang lelaki yang memaklumkan berlaku kecurian di dalam sebuah pasaraya.
“Sepasukan polis telah ke lokasi kejadian dengan diketuai oleh seorang Pegawai Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim. Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal.
“Suspek kemudiannya berhenti di hadapan sebuah rumah sebelum pegawai berkenaan memperkenalkan diri sebagai polis kepada suspek menyebabkan suspek telah mengambil sesuatu di dalam raga motosikalnya.
“Suspek kemudian menghayun senjata itu ke arah pegawai berkenaan hingga berlaku kecederaan di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Redzuan berkata seorang anggota dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim yang berada di lokasi cuba menahan suspek sebelum berlaku pergelutan sehingga menyebabkan anggota itu turut mengalami kecederaan dibahagian kaki kiri.
“Suspek akhirnya berjaya ditenang sebelum ditahan di lokasi kejadian dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong kertas dan pelbagai barangan yang dicuri. Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau tetapi saringan urin mendapati suspek bebas dari pengaruh dadah,” katanya.
Pada masa sama Mohd Redzuan berkata, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan pegawai yang cedera dibahagian dada telah menerima 36 jahitan manakala anggota berkenaan pula menerima lima jahitan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 380 KK. – nasionalkini.my