PARIT BUNTAR, 8 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.
Khabar gembira buat pesawah padi itu diumumkan ketika berucap merasmikan Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak, di Dewan Kerian Lermai, Parit Buntar.
Katanya, dengan kenaikan itu pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah negara ini.
Beliau pada masa sama menyifatkan peningkatan SSHP sebanyak RM140 yang diunjur itu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun, adalah satu-satunya kenaikan subsidi itu sejak kenaikan terakhir diumumkan kira-kira 25 tahun lalu.
“Ini kenaikan terbesar dalam sejarah. Kenaikan (subsidi padi) yang paling akhir adalah semasa Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dulu, 25 tahun lalu.
“Alhamdulillah, kini sudah jadi Menteri Kewangan subsidi itu naik lagi dari RM360 kepada RM500,” katanya. – nasionalkini.my