Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 21 Julai – Dua lelaki yang juga sepupu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu penjualan beras tidak wujud bernilai RM132,000, minggu lalu.
Tertuduh, Goh Ching Jin, 30, dan Goh Kim Chai, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu Ng Keok Kun, 36, dengan memperdaya mangsa dalam tawaran penjualan beras tidak wujud sehingga mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM132,000.
Kesalahan itu dilakukan di pasar raya Lotus Cheng dalam daerah Melaka Tengah pada jam 9.30 pagi 10 Julai lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan diketuai pengawai pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang.
Peguam mewakili kedua-dua tertuduh, K Ponnusamy bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan kedua anak guamnya hanya bekerja sebagai penjual air soya selain menanggung anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- nasionalkini.my.