in ,

Polis Johor tumpas rangkaian geng ‘Ah Long’ dikenali kumpulan Ah Hao

WhatsApp Image 2023 07 14 at 7.07.00 PM
POLIS menahan 15 individu selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen

JOHOR BAHRU, 14 Julai – Kira-kira 15 individu termasuk tiga wanita ditahan dalam serbuan di 13 lokasi sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru Utara selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ‘Ah Long.’

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi dijalankan antara jam 8 pagi hingga 1 petang berjaya menahan suspek berusia antara 22 hingga 43 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita.

Hasil siasatan awal mendapati semua suspek itu dipercayai ahli sindiket sama yang sebelum ini pernah diberkas dikenali sebagai kumpulan Ah Hao.

KamarulZamanMamat
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan awal mendapati semua suspek itu dipercayai ahli sindiket sama dan pernah diberkas sebelum ini.

“Semua suspek ini adalah ahli kepada sindiket yang sudah lama aktif dalam kegiatan along yang mana mereka terbabit dengan kejadian mengugut dengan menyimbah cat, membakar kenderaan serta rumah,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan itu juga, pihaknya merampas tujuh kenderaan pelbagai jenis beserta kunci kereta, 44 telefon bimbit pelbagai jenama, 22 kad ATM pelbagai bank, lima komputer riba pelbagai jenama, empat cop pelbagai nama syarikat, 19 set dokumen berkaitan pinjaman dan dua tablet.

Katanya, semua suspek kini direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut menumpaskan sindiket penipuan pekerjaan membabitkan warga Singapura di sebuah kediaman di Taman Perling di sini, 26 Jun lalu.

katanya, empat suspek termasuk seorang wanita berusia antara 27 hingga 40 tahun diberkas hasil kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman serta Polis Kontinjen Johor.

“Sindiket menyasarkan mangsa warga republik itu sendiri dengan menggunakan akaun bank Singapura bagi urusan pembayaran sehingga menyebabkan kerugian SGD 2.9 juta atau hampir RM10 juta. – nasionalkini.my

FB IMG 1689326282090

Penerima STR terima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) RM600

Pelancong Singapura kagum dengan Sang Riang