PUTRAJAYA, 14 Julai – Kira-kira 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) sebanyak RM600 mulai Isnin ini.
BH melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas.
“Kerajaan sudah menyediakan STR untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan sebagai tambahan, lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegas berdasarkan data e-Kasih, akan turut menerima SARa mulai 17 Julai ini.
“Bagaimanapun, perincian berhubung program SARa ini, akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Selain itu, Anwar mengumumkan Bank Simpanan Nasional (BSN) akan melancarkan Program Geran Padanan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan RM100 juta pada bulan depan.
Katanya, sejumlah peruntukan juga dikhususkan untuk menggalakkan penjaja kecil aktif dalam pemasaran digital serta melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan. – nasionalkini.my