in

Teo Nie Ching dipilih ketua wanita DAP

Gambar oleh BH Online

KLANG, 9 September – Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching, dipilih sebagai Ketua Wanita DAP yang baharu, menggantikan Chong Eng yang sudah berkhidmat selama 22 tahun bagi jawatan itu.

Nie Ching yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, dipilih pada pemilihan sayap wanita itu sempena Kongres Wanita DAP di sini hari ini.

Perasmian kongres itu disempurnakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dipilih sebagai Timbalan Ketua Wanita, manakala Ahli Parlimen Bentong, Yong Syefura, dipilih sebagai Naib Ketua bersama bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasturiraani.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pula tersenarai sebagai Ahli Jawatankuasa Wanita DAP.

Semua jawatan dipilih tanpa pertandingan berikutan hanya 15 pencalonan diterima untuk 15 jawatan dalam barisan kepemimpinan sayap wanita parti itu.

Sementara itu, Chong Eng dipilih sebagai penasihat bagi sayap Wanita DAP.

Ketika ditemui media selepas pemilihan berlangsung, Nie Ching menyatakan komitmennya untuk fokus kepada usaha mengarusperdana wanita DAP serta memperkasakan agenda wanita.

Beliau berkata, apa yang lebih penting kini adalah usaha kesamarataan gender dalam parti, yang mana wanita dalam parti itu diberikan layanan sama rata di semua peringkat parti.

“Jika wanita ada wakil di semua peringkat kepemimpinan, maka lebih mudah perjuangan dan pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan, ” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Chong Eng berkata, beliau tidak mempertahankan jawatan kerana merasakan sudah tiba masanya untuk mengundur diri dan bagi laluan kepada generasi kepemimpinan baharu.

“Sudah cukup rasanya sejak saya berada dalam parti sejak 1992 lagi dan menjadi Ahli Parlimen pada 1999 dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang dan menjadi Ketua Wanita sejak 2001.

“Sekarang pun sayap wanita sudah semakin kuat selari dengan kekuatan DAP kini yang menjadi sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika pada 1999 hanya ada tiga daripada 10 wakil rakyat DAP di Parlimen wanita, kini jumlahnya semakin ramai dan ada wakil di DUN juga serta yang dipilih sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau menegaskan perkembangan Wanita DAP memberangsangkan dan kini diiktiraf sebagai sebahagian pemegang taruh dalam barisan kepemimpinan parti.- nasionalkini.my

FB IMG 1694222141121 1

Kerajaan Pahang warta Hutan Taman Negeri Lubuk Yu

Khidmat COD beri rezeki tambahan