Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 18 Mei – Kerajaan sedang mengenalpasti golongan sasar termasuk peniaga kecil yang layak menerima subsidi minyak masak bersasar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, pelbagai perkara sedang diperinci termasuk mekanisme berkaitan pelaksanaan subsidi tersebut.
“Kita dimaklumkan ada lebih satu juta peniaga kecil yang terlibat dalam perniagaan makanan seperti keropok lekor, ayam gunting, karipap, dan sebagainya.
“Kita mahu peniaga kecil khususnya industri makanan supaya berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kita jadikan pendaftaran SSM sebagai salah satu syarat.
“Mereka ini memerlukan minyak masak bersubsidi (paket), Mereka perlu (peniaga kecil) berdaftar, kalau tidak, kita tidak tahu betul atau tidak dia (peniaga kecil) berniaga dan mereka boleh memperolehi subsidi bersasar ini,” katanya.
Beliau berkata kepada media dalam satu sidang akhbar selepas berakhirnya majlis perasmian program bimbingan usahawan 2023 (PBU23) anjuran SSM peringkat Pahang, di Dewan BCIC Lodge, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, ketika ini minyak masak bersubsidi banyak dijual secara pukal di pasar raya dan semua golongan boleh membelinya.
Katanya, sebanyak 60 juta paket minyak masak bersubsidi dijual sebulan.
“KPDN ada menerima banyak aduan bahawa golongan layak tidak mendapat manfaat itu. Sekarang ia masih dijual secara pukal di pasar raya cuma, mereka ada yang terima ada yang tidak.
“Jadi, kita hendak elak ketirisan dan memastikan subsidi itu (minyak masak) sampai kepada mereka yang memerlukan seperti B40, peniaga kecil dan mungkin M40.
“Kita berharap perancangan ini dapat selesai dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. – nasionalkini.my